Trofi Juara-Juara Asia: Malaysia mampu muncul juara

Oleh Staff Writer 24 Oktober 2016 15
Trofi Juara-Juara Asia: Malaysia mampu muncul juara

"Malaysia mampu juarai Trofi Juara-Juara Asia," itu keyakinan bekas kapten hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi, selepas anak buah Stephen van Huizen mempamer aksi mantap untuk muncul pasukan pertama layak ke separuh akhir.

Malaysia mempamer watak juara di Stadium Hoki Wisma Belia.

Ia sesuatu yang menggembirakan kerana pasukan ini kesuntukan masa membuat persiapan ekoran jadual padat.

Namun, kejayaan menewaskan lawan seperti Pakistan, China dan Jepun memberi bayangan The Speedy Tigers mampu mencipta sejarah menjuarai Trofi Juara-Juara Asia buat kali pertama.

"Potensi itu ada, tetapi pemain-pemain harus fokus kerana mereka mempunyai empat lagi perlawanan sebelum menjadi juara.

"Jadi, fokus dan disiplin amat penting dengan apa yang mereka lakukan selepas ini untuk keluar sebagai juara ataupun empat terbaik. Itulah yang mereka sasarkan," jelas Mirnawan.

Malaysia akan menentang pilihan utama, India, dalam aksi keempat, Rabu ini.

Sementara itu, Mirnawan dianugerahkan darjah kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk sempena hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar.

Majlis disempurnakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang.

Sumbangan Mirnawan dalam sukan hoki masih berterusan walaupun dia yang popular dengan gelaran 'Boss' tidak lagi menyarung jersi selaku pemain.

Pada 2009, Mirnawan bertindak sebagai jurulatih bagi skuad remaja negara.

Latar belakang Datuk Mirnawan Nawawi:

NAMA: Datuk Mirnawan Nawawi

UMUR : 45 tahun

ASAL : Melaka

• Dilantik pengurus skuad remaja negara pada 2009

• Beraksi di tiga Sukan Olimpik dan dua Piala Dunia (1998-2002)

• Lapan kali juara Liga Hoki Malaysia

• Empat emas Sukan SEA

• Pingat perak Sukan Komanwel 1998

• Pingat gangsa Sukan Asia 1990

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen