Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mensasarkan kemaraan ke separuh akhir saingan Trofi Juara-Juara Asia 2016 di Kuantan dari 20 hingga 30 Oktober ini.

Bagi Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, barisan kebangsaan bimbingan Stephen Van Huizen perlu memberikan saingan kuat dalam kejohanan itu memandangkan ia turut menawarkan pungutan mata yang mampu meningkatkan ranking dunia skuad negara.

Subahan turut mengesahkan KHM akan menampilkan barisan utama negara untuk saingan kali ini.

Skuad negara kini berada di ranking ke-14 dalam ranking dunia Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

"Kejohanan ini juga penting kerana buat pertama kalinya ia menawarkan mata dalam ranking FIH.

"Malaysia kini di kedudukan ke-14, jadi ini memberi peluang untuk kita mengutip mata.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, KPI (Petunjuk Prestasi Utama) saya adalah kami berada di tangga ke-10 pasukan terbaik sebelum tamat penggal saya di KHM.

"Saya berharap setidak-tidaknya kita dapat mara ke separuh akhir," katanya.

Dalam pada itu, Subahan berharap skuad negara mampu menduduki kelompok 10 terbaik dunia pada 2020 selain kemaraan ke Sukan Olimpik dan Piala Dunia, yang merupakan sasaran utama KHM.

"Sasaran kami adalah ranking kelapan dunia seperti yang ditetapkan oleh Pengarah Teknikal KHM (Terry Walsh).

"Tetapi kalau kami dapat menduduki tangga ke-10 dunia juga menakjubkan. Untuk merealisasikannya, kami perlu bermain sebanyak mungkin perlawanan."

Subahan ditemui ketika sidang media mengumumkan syarikat jualan langsung Asia, QNet, sebagai penaja utama saingan Trofi Juara-Juara Asia 2016 dan syarikat itu turut mengikat perjanjian tajaan berjumlah RM500,00 selaku penaja utama kejohanan.