Selepas melengkapkan sembilan perlawanan dalam Siri Jelajah Eropah, skuad hoki lelaki negara akan berlepas ke Tokyo, Jepun esok bagi menghadapi Kejohanan Ujian Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Stadium Hoki Oi selama lima hari bermula Sabtu ini.

Kejohanan ujian tersebut diadakan bagi memastikan lokasi serta prosedur operasi berada di landasan terbaik sebelum bermulanya Sukan Olimplik Tokyo 2020 dan hoki antara 56 perlawanan ujian yang akan berlangsung di sekitar Tokyo.

Selain Malaysia, acara tersebut turut disertai oleh pasukan yang berada di ranking kelima dunia, India, ranking kelapan dunia, New Zealand, dan tuan rumah, Jepun, yang berada di ranking ke-16 dunia.

Kejohanan ujian itu akan menggunakan format round robin dan selepas tamat pusingan tersebut, dua pasukan yang menduduki tangga teratas akan mara ke perlawanan akhir sementara dua lagi pasukan akan bersaing bagi kedudukan tempat ketiga dan keempat.

Skuad Malaysian Tigers akan memulakan saingan bertemu India, Sabtu ini, sebelum turun bertemu Jepun sehari kemudian dan melengkapkan pusingan round robin pada 20 Ogos berdepan New Zealand.

Berikut adalah senarai 18 pemain yang akan beraksi dalam Kejohanan Ujian Sukan Olimpik Tokyo 2020.

1. Kumar A/L Subramaniam (Pengaja Gol)
2. Muhammad Hafizuddin Othman (Penjaga Gol)
3. Mohamad Sukri Abdul Mutalib (Pertahanan)
4. Faiz Helmi Jali (Pertahanan)
5. Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan (Pertahanan)
6. Muhammad Najmi Farizal Jazlan (Pertahanan)
7. Nabil Fiqri Mohd Noor (Pertahanan)
8. Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran (Pertahanan)
9. Muhammad Marhan Mohd Jalil (Tengah)
10. Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi (Tengah)
11. Meor Muhamad Azuan Hasan (Tengah)
12. Mohamad Ashran Hamsani (Tengah)
13. Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (Tengah)
14. Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad (Tengah)
15. Norshafiq Sumantri (Penyerang)
16. Muhammad Shahril Saabah (Penyerang)
17. Muhammad Noor Firdaus Rosdi (Penyerang)
18. Mohamad Akhimullah Anuar Esook (Penyerang)