Pasukan hoki TNB tidak gentar dengan kerancakan pasukan lawan menyambar import bertaraf dunia, sambil jurulatih, Nor Saiful Zaini, mempunyai ramuan untuk mempersiapkan pasukan menggunakan tonggak tempatan.

Beberapa pasukan lawan seperti Terengganu Hockey Team (THT) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) giat mendapatkan pemain import berkualiti seperti pakar pukulan sudut penalti dari Argentina, Gonzalo Peillat, dan penjaga gol terbaik dunia, David Harte dari Ireland, untuk menghadapi saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2018.

Namun, situasi itu jelas tidak menggusarkan TNB yang mengekalkan polisi yang sama sejak menyertai LHM pada tahun 1987, iaitu tidak menggunakan tonggak import.

Cuma pemain baru yang menjadi sandaran TNB, iaitu Firhan Shaari dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, untuk berganding dengan pemain sedia ada.

“Pemain-pemain yang kami bawa masuk ke dalam pasukan turut memiliki kualiti untuk bersaing dengan pasukan lain. Kami akan berusaha untuk meningkatkan mutu ketika menyerang serta bertahan,” kata Nor Saiful.

Nor Saiful kini diberi tanggungjawab melatih pasukan TNB menggantikan Mohd Amin Abdul Rahim, yang kini bertanggungjawab membimbing pasukan pembangunan, TNB Thunderbolts.

Untuk musim 2018, TNB meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok tiga terbaik.

“Setiap tahun, TNB akan membariskan pemain tempatan dan akan sentiasa memberikan cabaran kepada pasukan lawan,” kapten pasukan TNB, Faiz Helmi Jali.