Jurulatih pasukan hoki TNB Thunderbolt, Norsaiful Zaini, masih mencari gandingan sesuai untuk menghadapi Liga Hoki Malaysia (LHM) musim hadapan meskipun menamatkan siri perlawanan persahabatan bersama pasukan bawah 17 tahun Korea Selatan dengan kemenangan 8-2.

TNB Thunderbolt akan bersaing dalam Divisyen Perdana LHM musim hadapan.

Justeru, satu siri tiga perlawanan persahabatan diatur bersama pasukan bawah 17 tahun Korea Selatan sebagai persiapan rapi pasukan ini.

TNB Thunderbolt yang dibarisi sebahagian besar pemain muda berusia 17 tahun ke bawah sudah nampak peningkatan dalam corak permainan.

Namun, ia dilihat masih belum cukup untuk menandingi pasukan-pasukan lain seperti Terengganu Hockey Team (THT) dan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC).

Justeru, Norsaiful masih dalam usaha membentuk gandingan pemain yang sesuai untuk memantapkan lagi pasukannya.

“Tugas sukar menanti pemain Thunderbolt, mereka perlu bersaing dengan pemain-pemain yang berpengalaman. Ini merupakan perjalanan yang harus mereka lalui kerana kami mahu membentuk sebuah pasukan untuk cemerlang dalam masa empat tahun lagi,” kata Norsaiful.

Dia juga melihat kemenangan dalam aksi terakhir menentang pasukan bawah 17 tahun Korea Selatan menyuntik moral pemainnya.

“Saya berpendapat kami memiliki beberapa pemain yang berkualiti serta berpotensi untuk meningkat di masa akan datang.”