Tenaga Nasional Berhad (TNB) tetap berani menetapkan sasaran dua trofi dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM), bermula 10 Januari depan walaupun hilang khidmat penyerang senior, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dan Firhan Ashaari.

TNB terpaksa menerima hakikat hilang khidmat Tengku Ahmad Tajuddin yang memilih berhijrah ke pasukan lain.

Begitu juga dengan Firhan yang belum pulih sepenuhnya daripada pembedahan lutut sejak Julai lalu.

Ketiadaan gandingan penyerang berbisa itu memberi tamparan hebat selepas membantu TNB menjuarai Piala Tan Sri P. Alagendra musim lalu, namun mereka kekal positif.

"Firhan dan Tengku Ahmad banyak membantu pemain-pemain muda ketika menyerang serta bertahan. Kami berasakan kehilangan tanpa khidmat mereka," kata ketua jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menetapkan kuota empat pemain import untuk setiap pasukan.

Ini bermakna TNB yang menggunakan sepenuhnya khidmat pemain tempatan memiliki kelebihan bersaing berbanding kuota enam pemain import musim lalu.

"Kami menyasarkan dua gelaran, Piala Liga dan Piala TNB. Kami akan berusaha ke perlawanan akhir terlebih dahulu," tambahnya.