Tiga pasukan berdepan risiko hilang venue utama dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) yang bermula 6 Januari depan apabila Stadium Hoki Kuala Lumpur mengalami masalah lampu limpah yang tidak mencapai 800 lux seperti ditetapkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Venue ini menjadi tuan rumah kepada Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak beberapa tahun lalu.

Mereka tiada pilihan kecuali terus berlatih dalam suasana tidak selesa ekoran masalah lampu limpah.

Bagaimanapun, apa yang lebih membimbangkan ialah status stadium itu untuk menganjurkan perlawanan LHM kerana pencahayaan tidak mencapai 800 lux.

"Apabila masalah seperti ini berlaku, kami berharap ia dapat diatasi dengan segera supaya gelanggang ini dapat digunakan oleh pasukan kami untuk liga nanti," kata pengurus KLHC, Ahmad Anuar Sham Kamar.

"Kami sudah selesa beraksi di sini. Saya berasakan bukan kami sahaja, pasukan lain juga begitu.

"Kalau boleh, biarlah kami dapat terus beraksi di sini," ujar ketua pasukan KLHC, Sukri Mutalib, pula.

KLHC merupakan pasukan paling banyak menjuarai liga dengan lapan kejuaraan dan lima kali menjulang Piala TNB, termasuk ketika menggunakan nama Ernst & Young.

Masalah ini mendapat perhatian Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) -- pihak yang diamanahkan menguruskan venue ini.

Namun, mereka kesuntukan masa untuk memperbaiki masalah lampu limpah sebelum liga bermula.

"Malam pun boleh beraksi tetapi tak berapa terang.

"Kami akan cuba memperbaiki kerosakan di beberapa lampu sebelum liga bermula," kata Setiausaha PHKL, V Rajamanickam.