Tidak malu jika tewas kepada Malaysia, kata jurulatih Korea Selatan, Paul Lissek

Oleh Staff Writer 27 Oktober 2016 44
Tidak malu jika tewas kepada Malaysia, kata jurulatih Korea Selatan, Paul Lissek
Jurulatih hoki Korea Selatan, Paul Lissek, menganggap pemainnya bertuah kerana dapat menguji Malaysia yang sedang berada di puncak prestasi, dalam aksi terakhir peringkat liga Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Stadium Hoki Wisma Belia, malam ini.

Korea menganggap mereka pasukan 'underdog' dalam pertemuan menentang Malaysia selepas menghuni tangga ketiga dengan meraih dua kemenangan, satu seri dan satu tewas.

Berdasarkan prestasi semasa, bekas juara Asia itu dijangka berdepan tugas sukar untuk mengejutkan tuan rumah.

Bagaimanapun, mereka memiliki Lissek yang arif mengenai corak permainan Malaysia kerana pernah membimbing The Malaysian Hockey Tigers pada era 90-an.

"Tewas kepada pasukan Malaysia dengan keadaan pasukan yang sedang menunjukkan kemajuan bukanlah sesuatu yang memalukan," kata Lissek. "Tetapi kami akan cuba untuk menjadikan perlawanan itu menarik dan mungkin memaksa Malaysia bekerja keras sebelum meraih kemenangan. 

"Malaysia merupakan pasukan yang kuat ketika ini, saya dapat menyaksikannya."

"Daripada pandangan saya, saya melihat peningkatan pada pasukan Malaysia daripada usaha keras. Saya boleh melihat beberapa pemain hebat dimiliki Malaysia dan berasakan Malaysia adalah pasukan yang hebat," katanya.

Korea yang membuat penampilan sulung dalam Trofi Juara-Juara Asia, membawa ramai pemain muda ke Kuantan.

Skuad itu turut sedang mempersiapkan diri untuk Kejohanan Piala Dunia Remaja di India, Disember depan.

Korea, bagaimanapun, tidak memiliki pakar pukulan sudut penalti berwibawa dan lebih banyak bergantung kepada jaringan padang.

Malaysia gagal melebarkan kemenangan apabila tewas 1-2 kepada India dalam perlawanan keempat malam tadi, menyaksikan skuad negara berada di tangga kedua dengan mengumpul sembilan mata. India berada di kedudukan teratas dengan 13 mata.

Perlawanan Malaysia dan Korea Selatan malam ini akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Arena 801 & 802 HD.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen