Tiada peluang Malaysia muncul juara -- Mirnawan

Oleh Staff Writer 21 November 2016 2
Tiada peluang Malaysia muncul juara -- Mirnawan
"Tiada peluang muncul juara,” itu pandangan bekas kapten hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi, mengenai cabaran Malaysia dalam Festival Hoki Antarabangsa Melbourne selepas skuad kebangsaan berlepas ke Australia.

Skuad hoki negara berlepas ke Australia tanpa beberapa tonggak utama seperti Muhammad Razie Abd Rahim, Nabil Fiqri Mohd Noor, Fitri Saari dan Faiz Helmi Jali.

Ia pasti menyukarkan misi untuk mencipta kejutan menentang tuan rumah, Australia, New Zealand dan India.

Justeru, Mirnawan meminta peminat agar tidak meletkkan harapan tinggi dan berpijak di bumi yang nyata.

"Saya berpendapat, untuk muncul juara, itu perkara yang mungkin tidak akan berlaku kerana semua perlu realistik dengan perbezaan skuad negara dan pasukan-pasukan lain yang bertanding.

"Australia merupakan pasukan nombor satu dunia, India berada di kedudukan keenam dunia dan New Zealand merupakan antara 10 pasukan terbaik dunia.

"Sememangnya agak sukar untuk muncul juara tetapi skuad negara mungkin mempunyai sedikit peluang untuk menewaskan pasukan New Zealand ataupun pasukan India.

"Malaysia mungkin boleh menamatkan cabaran di kedudukan kedua atau ketiga," jelasnya.

Skuad kendalian Stephen Van Huizen akan menjalani latihan selama empat hari sebelum memulakan cabaran menentang New Zealand, Rabu ini.

Harapan untuk menjaringkan gol disandarkan kepada dua penyerang, Shahril Saabah dan Faizal Saari, yang juga merupakan pakar pukulan sudut penalti negara.

Kejohanan tersebut juga memberi peluang untuk Stephen memilih 18 pemain terbaik menghadapi pusingan kedua Liga Dunia di Trinidad & Tobago, Mac tahun depan yang juga merupakan aksi kelayakan Piala Dunia 2018.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen