Pengendali Terengganu Hockey Team (THT), Sarjit Singh enggan mengambil mudah cabaran pasukan lain dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) musim 2017 biarpun THT dilabel sebagai pasukan pilihan.

THT merupakan juara tiga tahun berturut-turut Divisyen Premier Liga Hoki Kebangsaan sejak tahun 2014 sehingga 2016.

Selain itu, mereka turut merangkul kejuaraan Piala TNB musim lalu.

Tampil dengan status juara, Sarjit melihat tugasnya bersama barisan pemain sedia ada semakin sukar tatkala pasukan lain bertekad mematahkan dominasi THT dalam LHM.

"Pada saya, semua pasukan dalam Divisyen Perdana memiliki pasukan yang kuat. Contohnya, KLHC, mereka ketandusan kejuaraan dalam tempoh tiga tahun, jadi tahun depan sudah pasti mereka menyasarkan kejuaraan.

"Sapura sudah menarik diri, dan pemain mereka telah berhijrah ke pasukan lain. Kami juga hanya berjaya membawa masuk Firhan," jelas Sarjit.

Sementara itu, UniKL yang dikendalikan bekas pengendali kebangsaan, Arul Selvaraj, turut dalam proses mempersiapkan pasukan bagi menghadapi musim baru.

Tidak mahu lagi dianggap sebagai pencabar, UniKL menyasarkan sekurang-kurangnya satu kejuaraan bagi musim 2017.

Masih dalam fasa pemilihan, UniKL menggunakan kesempatan beraksi dalam kejohanan empat penjuru tempoh hari sebagai medan menguji keserasian pemain.

"Sudah tentu kami menyasarkan satu kejuaraan bagi musim 2017.

"Kerana itulah kami sedang cuba mendapatkan pemain import yang lebih berkualiti, terutama daripada aspek pukulan sudut penalti," ujar Arul.