Pasukan Hoki Terengganu (THT) melaungkan keazaman untuk merampas kembali Piala TNB daripada Universiti Kuala Lumpur (UniKL) serta mempertahankan gelaran juara Liga Premier apabila saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 membuka tirai bulan depan.

Pengurus pasukan THT, Mohamad Saberi Salleh, berkata pasukan itu yang akan dibarisi beberapa pemain kebangsaan seperti adik-beradik, Faizal dan Mohd Fitri Saari, Muhammad Hafizuddin Othman serta penjaga gol, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri, mampu mengulangi kejayaan berganda ketika menjuarai Liga Premier LHM dan Piala TNB tiga kali berturut-turut bermula 2014.

Mohamad Saberi turut mengesahkan THT sudah mengenal pasti ketua jurulatih baru bagi menggantikan Sarjit Singh yang berhijrah ke Johor, namun enggan mendedahkan nama pengendali tersebut.

“Daripada segi persiapan, THT sudah kenal pasti barisan pegawai pengurusan, kejurulatihan dan pemain, termasuk pemain import. Kami akan kekalkan beberapa pemain import musim lalu selain membawa pemain baru.

“THT juga akan dibarisi beberapa pemain pelapis daripada skuad Piala Tun Abdul Razak yang muncul naib juara dan skuad Sukan Malaysia (Sukma).

"Perkara ini sangat bagus untuk perkembangan pelapis Terengganu,” katanya dalam sidang media menjelang MHL dan undian bagi perlawanan kalah mati Piala Tan Sri P. Alagendra 2019 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Sementara itu, penolong pengurus pasukan UniKL, Saiful Azhar Mohd Affandi, berkata UniKL yang mencipta sejarah muncul juara Piala TNB 2018, tidak akan memberi laluan mudah kepada THT kerana berhasrat mempertahankan kejuaraan pertama pasukan itu sejak ditubuhkan pada 2009.

“Arul Selvaraj sah membimbing pasukan untuk musim ketujuh. Kami memang bersemangat tinggi untuk mempertahankan gelaran, terutama dengan adanya gelanggang sendiri kami, Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi,” katanya sambil menambah pasukan itu akan membawa masuk pemain import dari Eropah dan Asia.

MHL 2019 akan membuka tirai pada 11 Januari apabila THT dan UniKL berentap untuk merebut Piala Sumbangsih di Stadium Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Selepas Divisyen 1 tidak dipertandingkan pada 2019, sebanyak tujuh pasukan akan beraksi dalam Divisyen Premier (divisyen utama) melibatkan THT, UniKL, Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Thunderbolts, Maybank, ​​​​​​​Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Nur Insafi.

Dalam saingan berkenaan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengekalkan format musim 2018 yang menyaksikan setiap pasukan akan bermain di tempat sendiri dan lawan.

Bagi Piala Tan Sri P. Alagendra 2018 yang akan berlangsung dari 3 hingga 6 Januari di Stadium Hoki Nasional, TNB mendapat ‘bye’ untuk terus melangkah ke separuh akhir manakala Maybank akan bertemu UiTM; UniKL berdepan TNB Thunderbolts, dan Nur Insafi menentang THT dalam pusingan kalah mati.

-- BERNAMA