Terengganu Hockey Team (THT) tetap berwaspada dengan kemampuan lawan yang bakal ditentang meskipun mendapat laluan percuma dalam pusingan pertama untuk mempertahankan kejuaraan Piala Tan Sri P. Alagendra.

Sesi undian hari ini menyaksikan THT mendapat laluan percuma dan ia memberi kelegaan buat pengendalinya, Sarjit Singh, memandangkan kebanyakan pemain importnya masih belum melaporkan diri untuk menjalani latihan bersama.

Walaupun diletakkan sebagai pasukan pilihan, Sarjit mengambil pendekatan merendah diri dengan tidak memandang rendah kemampuan lawan lain dalam saingan musim depan.

"Tahun lalu, kami memenangi dua kejuaraan. Mempertahankan kejuaraan lebih payah berbanding memenanginya.

"Kami akan cuba yang terbaik. Kami sudah memulakan latihan sejak minggu lalu dan sasaran awal kami adalah untuk layak ke final Piala Tan Sri P. Alagendra," kata Sarjit.

Satu lagi pasukan yang turut menjadi pencabar adalah Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC). Musim 2017 menyaksikan perjalanan mereka terkandas di peringkat separuh akhir apabila ditundukkan THT.

Kini, bersandarkan jurulatih baru, Lim Chiow Chuan, yang menggantikan Harun Ar Rashid, mereka bertekad untuk mara ke pentas final.

"Sudah pasti setiap jurulatih ada kaedah tersendiri. Ia lumrah dan sebagai pemain, kami perlu menyesuaikan diri secepat mungkin dengan kaedah yang dibawa oleh jurulatih baru," kata ketua pasukan KLHC, Sukri Mutalib.