Terengganu Hockey Team (THT) menjadi harapan terakhir Malaysia untuk menghalang kelab China, Inner Mongolia, menjuarai Kejohanan Empat Penjuru di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), esok.

Walaupun menggalas maruah negara, namun pengendali THT, Sarjit Singh, mengakui tugas itu sukar dilaksanakan.

Juara berganda Liga Hoki Malaysia (LHM) ini diharap dapat mengekang Inner Mongolia muncul juara kerana pasukan lawan itu sudah pun menumbangkan MBPJ dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sebelum ini.

THT turut meraih dua kemenangan, namun masih ketinggalan di belakang juara Liga Hoki China itu berdasarkan jumlah jaringan.

Ini bermakna THT tiada pilihan kecuali perlu mengatasi Inner Mongolia.

"Kejohanan ini merupakan satu pendedahan terbaik buat pemain saya.

"Ini kerana bagi persiapakan kali ini, kami dikira bermula awal. Inner Mongolia merupakan pasukan yang kuat kerana mereka memiliki lapan pemain kebangsaan.

"Jadi, saya harap pemain saya dapat mempamerkan aksi baik nanti," jelas Sarjit.

THT telah membuat persiapan sejak bulan lalu bagi menghadapi saingan LHM, 6 Januari depan.

Mereka turut berjaya memancing dua bekas tonggak utama Sapura, Firhan Ashaari dan S. Namasivayam.

"Namasivayam sepertimana yang semua tahu, merupakan pakar PC runner di Malaysia. Kami mengambil dia kerana tahun lalu kami mendapat pengajaran baik daripada TNB apabila mereka menjaringkan empat gol menerusi pukulan sudut penalti.

"Dengan bantuan Namasivayam, sekurang-kurangnya penjaga gol mendapat bantuan tambahan di gawang," tambahnya.

Aksi di Stadium Hoki MBPJ esok juga peluang untuk THT menguji pemain import dari Argentina, Korea dan Pakistan.