Terengganu Hockey Team (THT) berada di landasan tepat untuk merampas semula Piala Tan Sri P. Alagendra yang bermula 3 Januari ini apabila pengendali, I. Vickneswaran, mengesahkan semua enam pemain import sempat tiba untuk beraksi.

Beberapa pasukan masih menunggu ketibaan pemain import ketika Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 akan bermula minggu depan.

THT bernasib baik apabila semua pemain mereka akan tiba beberapa hari sebelum menentang Nur Insafi di peringkat suku akhir kejohanan itu, sekali gus menjadi pembakar semangat untuk merampas semula trofi.

Gergasi LHM itu mengekalkan khidmat pemain tengah Pakistan, Ammad Shakeel Butt, dan tonggak dari Korea Selatan, Jung Man Jae dan Jong Jang Hyun, selain turut mendapatkan sentuhan pemain Argentina dan Wales.

"Buat masa ini, fokus kami hanya kepada pasukan sendiri. Setakat ini, berbekalkan pemain tempatan yang ada, saya rasa pasukan sudah cukup bagus.

"Sudah tentu apabila diperkuatkan dengan wakil kebangsaan dan pemain import, ia memantapkan lagi skuad," kata Vickneswaran.

Beberapa pasukan seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berdepan masalah kerana kesemua enam pemain import lewat tiba, sekali gus terpaksa mengharungi cabaran berbekalkan tenaga tempatan.

THT menjulang Piala Tan Sri P. Alagendra 2017 sebelum tewas di tangan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dalam final tahun ini.

"Beberapa tahun lalu, saya rasa bekas pengendali THT, Sarjit Singh, telah meninggalkan kesan yang positif kepada Terengganu dan sekarang adalah usaha untuk meneruskan serta memperjuangkan seberapa banyak lagi gelaran yang boleh diraih."