Ketua jurulatih hoki negara, Stephen Van Huizen, bersedia kehilangan khidmat penyerang, Faizal Saari, untuk aksi berdepan Pakistan dalam separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia, Sabtu ini, kerana mahu menemani isterinya yang menanti kelahiran bayi sulung mereka.

Stephen yakin dengan kemampuan jentera serangan negara sekiranya terpaksa beraksi tanpa Faizal.

Ini kerana isteri Faizal dijadual melahirkan bayi sulung mereka esok.

Pengendali itu juga tidak akan merombak strategi jika Faizal terpaksa pulang ke Ipoh sebelum berdepan Pakistan.

Penyerang seperti Firhan Ashaari, Mohd Haziq Shamsul, Shahril Saabah, Rashid Baharom dan Nik Mohd Aiman Nik Rozemi, dilihat semakin serasi selepas membantu Malaysia meraih tangga kedua di peringkat liga.

"Kami sedar mengenai keadaan isterinya yang sedang sarat mengandung.

"Kami sudah bersedia seandainya khidmat dia terpaksa diketepikan pada bila-bila masa sahaja kerana itu adalah keutamaannya," terang Stephen terhadap situasi semasa Faizal yang kembali menyarung jersi negara selepas 14 bulan.

Ketua pasukan negara, Sukri Mutalib, pula menggesa rakan sepasukannya agar lebih berwaspada dengan Pakistan meskipun pernah menewaskan lawan yang sama 4-2 dalam aksi pembukaan tempoh hari.

"Kami perlu mengkaji permainan Pakistan kerana prestasi mereka semakin meningkat dalam setiap perlawanan.

"Ada beberapa perkara yang kami perlu berjaga-jaga kerana mereka mempunyai kepakaran dalam pukulan sudut penalti dan penyudah yang sangat berbahaya," kata Sukri.

Sementara itu, Pakistan membuat persiapan untuk mengheret perlawanan ke penentuan pukulan penalti selepas tewas kepada Malaysia di peringkat liga.

"Pemain yang mampu menguasai emosi dan gemuruh, mereka ini mampu mengurangi kesilapan.

"Ini adalah perlawanan yang penuh tekanan. Pasukan Malaysia, Pakistan, India dan Korea Selatan mempamerkan permainan yang hebat dan sesiapa yang berjaya mengawal emosi, mereka akan meraih keputusan yang baik," ujar jurulatih Pakistan, Khawaja Junaid.