Penjaga gol hoki negara, S. Kumar, menganggap tempat ketiga skuad Malaysian Hockey Tigers dalam Trofi Juara-Juara Asia di Kuantan, minggu lalu adalah pencapaian memberangsangkan biarpun dia secara peribadi berpendapat mereka seharusnya mampu meraih kedudukan lebih baik.

"Prestasi kami semakin meningkat. Secara peribadi, saya sebenarnya yakin kami mampu mara ke perlawanan akhir, malangnya kami tewas dalam penentuan pukulan penalti kepada Pakistan," ujarnya ketika ditemubual dalam Nadi@1, hari ini.

"Pencapaian itu menunjukkan kita menuju ke arah yang betul untuk menghadapi pusingan kedua Liga Hoki Dunia 2017 di Trinidad & Tobago, Mac nanti."

Dia turut menganggap perubahan format Trofi Juara-Juara Asia kepada empat pasukan terbaik beraksi dalam separuh akhir menjejaskan kerancakan kejohanan.

"Pakistan menampilkan aksi berbeza di peringkat liga dan separuh akhir. Jika format dua pasukan teratas akan terus mara ke final, setiap pasukan akan bermula garang sejak awal kejohanan lagi."

Kumar turut menggunakan kesempatan itu untuk memuji usaha rakan sepasukannya yang telah bertungkus-lumus dan banyak berkorban bagi memartabatkan sukan hoki negara.

"Kadang-kala saya berasa kasihan terhadap pemain. Mereka mengharungi jadual padat dengan menyertai kempen berterusan dalam Piala Sultan Azlan Shah, disusuli Jelajah Jepun, Jelajah Australia, Liga Malaysia dan Liga Australia.

"Sebaik tiba di tanah air dalam tempoh beberapa hari, mereka berangkat pula ke Kuantan untuk menghadapi Trofi Juara-Juara Asia.

"Pemain-pemain sentiasa mahu memberikan aksi terbaik di atas padang apabila diberi peluang biarpun mereka bergelut dengan kecederaan.

"Tapi kami perlu kekal konsisten selain menerapkan mentaliti kemenangan dalam setiap perlawanan.

"Kami sedang memperbaiki perkara ini. Kita boleh lihat dalam Trofi Juara-Juara Asia, walaupun tahap permainan pasukan negara ada turun naiknya, tapi di penghujung saingan, kami akan memberi asakan hebat," katanya lagi.