Penyerang senior skuad hoki negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, mengambil keputusan mempertimbangkan semula hasratnya untuk bersara selepas Malaysia gagal ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Malaysia tewas 3-9 secara agregat kepada Great Britain dalam perlawanan pusingan kelayakan di London semalam.

Selepas gagal menamatkan kemarau 20 tahun ke temasya itu, Tengku Ahmad Tajuddin mendedahkan pendiriannya bersama skuad kebangsaan.

"Jika jurulatih masih memerlukan, saya akan terus mencurahkan bakti dan berkhidmat untuk negara.

"Itu sahajalah jawapan saya," katanya.

Dia kemudian menambah: "Kalau saya masih lagi diperlukan, mengapa saya perlu menyerah kalah.

"Jadi, jika jurulatih memerlukan saya, saya akan meneruskannya sebab peluang untuk berkhidmat buat negara bukannya datang banyak kali.

"Saya akan menggunakannya (peluang itu) dengan sebaik mungkin."

Mengenai kedudukan Roelant Oltmans selaku ketua jurulatih, Tengku Ahmad Tajuddin berkata: "Ia keputusan yang perlu dibuat presiden (Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal), saya tidak boleh menyatakan sama ada dia perlu dikekalkan ataupun tidak.

"Dia (Oltmans) sudah menyatakan hasratnya untuk meletak jawatan jika kami gagal layak, jadi ia terpulang kepada presiden untuk berbincang dengannya," katanya lagi.