Terengganu meraih tiga mata dalam perlawanan Kumpulan A selepas menundukkan Indonesia 2-0 dalam Kejohanan Hoki Wanita Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Kuala Lumpur, hari ini.

Keputusan itu menyaksikan Indonesia kekal di tangga tercorot liga tanpa sebarang kemenangan setakat ini.

Kedua-dua pasukan bergelut pada separuh masa pertama dalam usaha untuk mencari gol pembukaan.

Selepas menemui rentak, mereka saling melakukan percubaan, namun tidak bernasib baik.

Bagaimanapun, skuad kendalian Muhammad Harun Al-Rashid Samri itu berjaya mengubah corak permainan untuk akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-55 menerusi gol padang yang disempurnakan oleh Auni Athika Ghani.

Selang lima minit kemudian, Terengganu meledak gol kedua menerusi Siti Azlinda Atan.

Di sebalik kemenangan itu, ia masih belum mampu memberikan kedudukan yang selesa buat Terengganu untuk mara ke separuh akhir dan perlawanan berdepan Perak esok bakal menjadi penentuan kemaraan mereka.

"Sasaran saya adalah berada dalam kelompok lima pasukan terbaik. Jika kami mahu bermain untuk menang, ia akan membantu kami untuk mencapai satu tahap yang lebih baik dengan beraksi dalam separuh akhir," kata Harun.