Hasrat Terengganu untuk mempertahankan kejuaraan lebur selepas tunduk 2-3 di tangan Perak dalam final Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak 2017 di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh, malam ini.

Berbekalkan kelebihan beraksi di laman sendiri, skuad Perak nyata tidak memberikan laluan mudah buat Terengganu apabila Muhammad Najib Abu Hassan membuka tirai jaringan pada minit ke-30.

Tersentak dengan jaringan awal lawan, Terengganu mula memperkemaskan permainan dan usaha mereka berhasil menerusi pukulan sudut penalti selepas kapten pasukan, Faizal Saari, menyamakan kedudukan pada minit ke-35.

Perak sekali lagi meletakkan diri di landasan juara apabila Muhammad Haziq Samsul mencatat jaringan kedua pada minit ke-53, namun kelebihan itu hanya bertahan selama tiga minit selepas Faizal sekali lagi mengikat kedudukan buat Terengganu.

Jaringan Hafifi Hafiz Hanafi akhirnya memberikan gol kemenangan buat Perak apabila menyempurnakan peluang menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-59 dan kedudukan 3-2 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, membolehkan Perak dinobatkan status juara untuk edisi kali ini.

Sementara itu, bagi saingan Divisyen Dua, dua gol daripada Azhad Akmal Mohd Fahmi pada minit ke-16 dan 52 perlawanan membolehkan Perlis menewaskan Selangor 2-0 dalam aksi akhir.

Kemenangan itu memberikan gelaran juara buat Perlis, sekaligus melayakkan diri untuk ke saingan Divisyen Satu, tahun depan.


Foto kredit: Facebook Malaysian Hockey Confederation