Terengganu azam pertahan kejuaraan, PDRM mahu menggugat

Oleh Hairi Yahaya 3 November 2017 600
Terengganu azam pertahan kejuaraan, PDRM mahu menggugat
Cabaran Kejohanan Hoki Piala Razak pasti sengit apabila finalis tahun lalu, Terengganu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), turut melaungkan keyakinan untuk mengulangi prestasi cemerlang mereka di Stadium Sultan Azlan Shah Ipoh, esok.

Menurut ketua pasukan Terengganu, Faizal Saari, sasaran Terengganu di Ipoh adalah untuk mempertahankan kejuaraan walaupun menyedari persediaan pasukannya tidak selengkap tahun lalu.

"Sasaran kali ini tidak mudah dengan adanya tentangan sengit tentunya daripada pasukan tuan rumah (Perak), PDRM serta Kuala Lumpur, tetapi kami tetap yakin," ujar Faizal.

PDRM juga tidak berkecuali dan tidak mahu dilabel sebagai pasukan pelengkap  dalam Divisyen 1.

Ketua jurulatih, Zulkhairi Ariffin, berkata pasukannya telah membuat persediaan lebih awal dengan mengenal pasti pasukan lawan untuk kejohanan kali ini.

"Untuk edisi kali ini, kami menganalisis perlawanan satu persatu. 

"Dari segi persefahaman pasukan saya yakin tidak ada masalah kerana 90 peratus pemain tahun lalu dikekalkan. Oleh itu, kami yakin PDRM mampu beri kejutan kepada pasukan lain untuk edisi kali ini," ujarnya.

Sementara itu, pendatang baru Divisyen 1, Pulau Pinang, tidak meletakkan harapan besar tetapi tetap berazam mempamerkan prestasi terbaik.

"Prestasi pasukan Pulau Pinang tidak begitu kosinsten.  Kami menyasarkan untuk terus kekal dalam Divisyen 1. Pengalaman ini juga dapat digunakan untuk persiapan masa hadapan agar kombinasi pasukan dapat ditingkatkan," kata pengurus pasukan, A.N Leo Vincey.

Tentang Penulis

Hairi Yahaya

Komen