Penyerang skuad hoki negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, mencabar rakan sepasukannya untuk merebut peluang melayakkan diri ke Piala Dunia 2023 selepas Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengubah format kelayakan yang memberikan kelebihan kepada pasukan dari benua Asia dan Eropah.

Realitinya, penyerang senior itu mungkin tidak lagi mewakili negara pada tahun berkenaan.

Berdasarkan rekod, Malaysia kini berada di ranking ke-11 dunia selaku pasukan kedua terbaik di Asia.

Berdasarkan format terbaru FIH, dua pasukan terbaik dalam Kejohanan Asia tahun depan selain termasuk tuan rumah, India, akan layak secara automatik ke kejohanan berkenaan.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, pemain veteran itu berkata: "Malaysia mungkin memiliki sedikit kelebihan berbanding pasukan lain tetapi dengan pembentukan skuad baru dan kehilangan beberapa tonggak senior, saya rasa Malaysia perlu bekerja keras untuk berada dalam kelompok yang layak ke Piala Dunia."

Dalam perkembangan berasingan, Piala Sultan Johor 2020, yang sepatutnya diadakan Oktober depan, terpaksa dibatalkan ekoran kebimbangan jangkitan Covid-19.

Penganjur mengambil keputusan itu selepas mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Pada awalnya, kejohanan edisi ke-10 itu bakal membabitkan enam pasukan, termasuk juara bertahan, Great Britain.

Keputusan terbaru itu bermakna skuad remaja negara hanya mempunyai satu kejohanan tahun ini, iaitu Piala Remaja Asia di Bangladesh, di mana Persekutuan Hoki Asia masih belum mengumumkan tarikh baru kejohanan itu.

Pemangku Presiden Persatuan Hoki Johor, Datuk Majid Manjit Abdullah berkata: "Kejohanan tahun ini memang tiada, ia ditunda ke tahun depan.

"Jadi, kejohanan edisi ke-10 itu akan ditunda kerana Covid-19.

"Memang acara sukan di Johor sedang ditangguhkan buat sementara waktu.

"Kami tidak boleh menunggu lagi dan perlu membuat keputusan (membatalkan kejohanan)," katanya.