Pengurus skuad hoki Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Tarmizy Mohammed, mempertahankan tindakan menarik diri daripada Liga Perdana pada Januari depan kerana Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) lewat membuat keputusan sehingga menyukarkan pihaknya membentuk skuad terbaik.

UiTM sepatutnya turun ke Divisyen Satu selepas menduduki tangga tercorot Liga Perdana musim ini tetapi KHM meminta mereka kekal beraksi dalam Liga Perdana bagi menambah jumlah pasukan.

Ia mengundang masalah kerana perkara itu lambat dimaklumkan, sekaligus menyukarkan UiTM mengumpul dana bagi memancing pemain import.

“Kami mendapat jemputan untuk Liga Perdana agak lewat, iaitu pada awal November dan jemputan awal yang kami terima adalah untuk menyertai Divisyen Satu. Kami telah membuat pengesahan untuk menyertai Divisyen Satu tetapi menerima jemputan kedua untuk menyertai Liga Perdana.

“Kami memerlukan masa dan kewangan yang mantap, jadi UiTM bersedia untuk beraksi dalam Liga Perdana tetapi bukan pada tahun 2018,” kata Tarmizy.

Langkah menarik diri daripada Liga Perdana turut diambil oleh pasukan Polis Diraja malaysia (PDRM).

Naib juara Divisyen Satu itu sudah menghantar surat kepada KHM untuk kekal dalam Divisyen Satu pada musim depan.

Situasi itu bermaksud sebanyak lapan pasukan akan mencabar Liga Perdana sebelum tarikh tutup pendaftaran pasukan, 8 Disember ini.