Bekas penyerang negara, Mohd Syamim Yusof, kecewa selepas tidak lagi dibenarkan memasuki Stadium Hoki Kuala Lumpur tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Situasi itu dilihat cukup janggal kerana venue terbabit mesra pengguna sejak 1998 tetapi Syamim kini memerlukan kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) jika berhasrat ke gelanggang bersejarah itu selepas pengurusan stadium tersebut diambil alih.

Dia merupakan antara produk terbaik dilahirkan Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) sambil membantu skuad Ibu Kota muncul juara bawah 16 tahun kebangsaan serta meraih pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) sehingga dipilih mewakili skuad remaja dan senior negara.

“Betapa pentingnya stadium ini. Dulu, semua orang memiliki peluang cerah. Jika keadaan begini, bagaimana pemain muda mahu berkembang. Saya tidak faham mengapa situasi ini berlaku. Sudah berapa lama kami beraksi di sini dan tiada sebarang masalah sehingga sekarang,” katanya.

"Tolonglah selesaikan masalah ini dan dapatkan semula stadium. Di mana tempat untuk pemain muda menunjukkan bakat?"

Dalam perkembangan lain, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) merancang untuk mengubah format Piala Razak selaku kejohanan sulung sebaik tamat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP.

Saingan edisi ke-58 kejohanan itu dijadualkan bermula pada 18 September depan dengan hanya membabitkan satu divisyen berbanding dua, sebelum ini.

KHM juga meneliti semula cadangan untuk membenarkan penonton menyaksikan perlawanan sekali gus menafikan kemungkinan aksi dijalankan secara tertutup.