Kapten pasukan hoki kebangsaan, Sukri Mutalib, nyata terkejut mengetahui kontrak penolong jurulatih, Lim Chiow Chuan, tidak disambung sekalipun menganggap perkembangan itu tidak menjejaskan persiapan skuad untuk menghadapi Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Piala Dunia, tahun depan.

"Pada awalnya, memang rasa sedikit terkejut kerana kami tidak dimaklumkan," katanya. "Saya hanya mendapat perkhabaran itu daripada kawan melalui Whatsapp.

"Tetapi kami sebagai pemain akur dengan keputusan KHM (Konfederasi Hoki Malaysia). Kami tidak boleh berbuat apa-apa. Saya harap kehadiran jurulatih (Mohd) Amin (Rahim) dapat membantu pasukan untuk tahun depan," katanya.

Tambah Sukri, rakan sepasukannya juga menerima keputusan KHM yang melantik Amin sebagai pengganti Chiow Chuan.

Jelasnya, Amin juga memiliki reputasi baik sebagai bekas pakar pukulan sudut penalti walaupun kurang pengalaman dalam bidang kejurulatihan.

Apa yang penting, pertukaran ini tidak menjejaskan program latihan untuk menghadapi tiga kejohanan besar tahun depan.

Malah, pandangan sama turut dikongsi bekas kapten pasukan negara, Datuk Mirnawan Nawawi.

"Jika kita dapat meningkatkan peratusan penyudahan pukulan sudut penalti di dalam setiap perlawanan, sudah pasti ia akan membantu pasukan negara untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik dalam setiap kejohanan yang disertai." katanya.

Skuad negara dijadual memulakan kem latihan pusat pada 20 November ini.

Semalam, KHM menerusi Soon Mustapha mengesahkan Amin akan mengambil alih tugas penolong jurulatih pasukan kebangsaan selepas kontrak Chiow Chuan tidak disambung.

Chiow Chuan dilantik sebagai penolong jurulatih negara pada 2015 dan sejak itu, dia terbabit dalam semua kejayaan besar seperti layak ke Piala Dunia 2018, mempertahankan pingat emas Sukan SEA dan muncul naib juara Piala Asia.