Kapten skuad hoki lelaki negara, Sukri Mutalib, menyifatkan pasukannya semakin mengerti struktur strategi yang diterapkan ketua jurulatih kebangsaan, Roelant Oltmans, sepanjang tiga minggu Siri Jelajah Eropah.

Malaysia, yang ketika ini menduduki ranking ke-12 dunia, dalam proses mempersiapkan jentera ampuh ke pusingan kelayakan terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 Oktober nanti.

Bagaimanapun, Sukri menganggap skuad kebangsaan masih belum berada pada tahap terbaik sehingga barisan utama ditetapkan bagi mengenali kekuatan dan kelemahan sebenar pasukan.

Dia mahu keseimbangan dan kefahaman hasil daripada pembelajaran dalam Siri Jelajah Eropah diterapkan dalam kalangan pemain menjelang kejohanan seterusnya di Jepun bermula Sabtu ini.

"Yang pertama, apabila bermain baik dalam enam aksi terawal, kami memiliki keyakinan tinggi untuk bersaing dengan mereka. Kami mempunyai motivasi dan kedua, kami lebih memahami struktur baru yang diterapkan jurulatih," katanya.

Sementara itu, penolong ketua jurulatih kebangsaan, Muhammad Amin Rahim, tetap berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemain negara dalam kejohanan yang melibatkan pasukan gergasi Eropah seperti Belgium, Jerman dan Belanda.

Untuk rekod, skuad The Malaysian Hockey Tigers berjaya merakamkan tiga kemenangan, satu seri dan tewas lima perlawanan dalam Siri Jelajah Eropah.

"Sudah tentu jika dilihat dalam empat perlawanan terakhir, Belgium dan Belanda merupakan pasukan enam terbaik dunia. Kemahiran asas mereka serta penyudah memang sangat baik tetapi kami banyak belajar. Ia salah satu persediaan kami untuk ke saingan kelayakan nanti," ujarnya.