Kapten skuad hoki lelaki negara, Sukri Mutalib, mengingatkan rakan sepasukan agar tidak terbawa-bawa dengan kejayaan menumbangkan India, sebaliknya meletakkan fokus menjelang pertemuan menentang pasukan nombor satu dunia, Argentina.

Semalam Malaysia berjaya menempatkan diri ke kelompok empat terbaik selepas menewaskan India 3-2 dalam saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia, sekaligus mengesahkan slot buat skuad Malaysia Hockey Tigers untuk beraksi di pentas Piala Dunia, tahun depan.

Bagi Sukri, dia dan rakan sepasukannya perlu fokus menjelang pertemuan kali kedua menentang Argentina dan dia sendiri memasang impian untuk melakukan kejutan menundukkan skuad kendalian Carlos Retegui itu.

“Kami harus memandang sesuatu yang lebih tinggi walaupun telah menumbangkan India dan kami tidak boleh cepat berpuas hati, sebaliknya memikirkan perlawanan seterusnya (menentang Argentina),” ujar Sukri.

Nada sama juga disuarakan salah seorang penjaring gol ketika bertemu India, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, yang menyifatkan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

“Banyak lagi yang perlu diperbetulkan, terutama ketika bertahan.

“Setiap pemain perlu bekerjasama serta terus berusaha gigih dalam usaha untuk mencapai kejayaan yang seterusnya,” kata Tajuddin.

Sementara itu, pengendali skuad kebangsaan, Stephen Van Huizen, memuji aksi anak buahnya ketika menentang India sambil menyeru semua pemain agar tidak berasa terlalu tertekan menjelang pertemuan menghadapi Argentina dalam saingan empat terakhir.

"Selepas ini, setiap perlawanan akan menjadi sangat penting serta boleh dianggap ujian getir tetapi kami sudah melangkah ke Piala Dunia 2018 dan tiada sebab untuk pemain-pemain berasa tertekan," ujar Van Huizen.