Ketua pasukan skuad hoki lelaki negara, Sukri Mutalib, bertekad pulih daripada kecederaan betis segera untuk menyertai pasukan kebangsaan menghadapi kejohanan Piala Asia 2017 di Dhaka, Bangladesh, bermula 11 Oktober ini.

Pemain berusia 31 tahun itu dikhuatiri tidak akan berada dalam senarai akhir skuad Malaysian Hockey Tigers selepas mengalami kecederaan betis ketika sesi latihan untuk menyertai dua lagi pemain utama yang tercedera, Muhammad Firhan Ashaari dan Izad Hakimi Jamaluddin.

Bagaimanapun, melalui bantuan Institut Sukan Negara (ISN), Sukri yakin dia mampu untuk pulih sebelum kejohanan bermula dan sekali lagi mengetuai pasukan di pentas Piala Asia.

“Sepanjang seminggu saya menjalani proses pemulihan di ISN, banyak perkara positif dapat dilihat dan saya dapat rasakan kesakitan semakin berkurangan. Jika perkembangan ini berterusan, saya yakin dapat ke Dhaka.

“Apa yang merisaukan adalah tahap kecergasan yang sedikit menurun,” katanya.

Sukri juga menjelaskan dia mempunyai alasan tersendiri tidak mahu terlepas tempat ke Piala Asia walaupun skuad Malaysia Hockey Tigers sudah melayakkan diri ke Piala Dunia 2018.

“Piala Asia dijalankan empat tahun sekali, jadi kalau boleh kami mahu melangkah lebih jauh berbanding edisi sebelum ini (pingat gangsa).

“Tidak kira pasukan utama atau campuran yang dihantar untuk menghadapi kejohanan itu, sebaik-baiknya kami meraih perak atau emas agar menjadi satu peningkatan prestasi dalam pertandingan,” katanya lagi.