Sukri hormati hasrat Oltmans guna khidmat pemain muda 

Oleh Penulis Jemputan 12 Disember 2018 292
 Sukri hormati hasrat Oltmans guna khidmat pemain muda 
Ketua pasukan hoki negara, Sukri Mutalib, menyokong keputusan pengendali, Roelant Oltmans, untuk membentuk pasukan baru bagi menghadapi kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas Malaysia tersingkir seawal peringkat kumpulan dalam kempen Kejohanan Hoki Piala Dunia di Bhubaneswar, India, Ahad lalu. 

Oltmans merancang untuk mencari lebih ramai pemain muda menerusi Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 yang bermula bulan depan.

Langkah itu diambil untuk memberi peluang kepada pemain senior berehat, secara tidak langsung mempunyai lebih banyak pilihan pemain dalam usaha membentuk pasukan yang dihajatinya. 

"Segalanya terpulang kepada Oltmans.

"Sekiranya beliau ingin menggunakan khidmat pemain muda, saya akan menghormati keputusannya kerana beliau mempunyai pandangan tersendiri dan berpengalaman luas dalam arena kejurulatihan. 

"Kami hanya menjalankan tugas sebagai pemain," kata Sukri. 

Pemain paling senior negara ketika ini adalah penjaga gol, S. Kumar, yang sudah mencecah usia 39 tahun.

Empat lagi pemain, termasuk Sukri, Razie Rahim, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil dan Nabil Fiqri Mohd Noor juga melebihi usia 30 tahun.

Khidmat mereka masih diperlukan tetapi sukar untuk mengekalkan prestasi terbaik dalam enam kejohanan antarabangsa seperti yang diharungi tahun ini.

Dalam masa sama, Sukri, Razie dan Nabil juga sedang berunding dengan pasukan baru ekoran penarikan diri Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) daripada kancah LHM.

"Saya masih menunggu dan dalam perbincangan bersama pasukan baru. 

"Ini cabaran buat saya memandangkan saya telah bersama KLHC hampir 11 tahun. 

"Mungkin ia akan menjadi cabaran yang menarik," katanya lagi. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen