Sukar untuk cari pengganti Kumar

Oleh Penulis Jemputan 27 Disember 2017 404
Sukar untuk cari pengganti Kumar
Ketiadaan pemain berkualiti untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan penjaga gol, S. Kumar, menyebabkan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa melanjutkan tarikh pendaftaran pemain bagi mengharungi musim baru Liga Hoki Malaysia (MHL).

Setiap pasukan yang bersaing dalam MHL sepatutnya mendaftarkan senarai kesemua pemain pada Jumaat lalu, namun TNB memohon untuk melanjutkannya kepada Selasa, sehari sebelum saingan MHL bermula.

Jurulatihnya, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, menjelaskan bahawa mereka berdepan masalah mencari pemain sesuai untuk mengantikan Kumar yang kini terlibat dengan isu doping.

Sehubungan itu, penjaga gol TNB Thunderbolts, Mohd Hairi Abdul Rahman, disebut-sebut sebagai individu yang akan diserapkan Saiful ke pasukan TNB, dan dia sudah memaklumkan perkara tersebut kepada jurulatih pasukan itu, Muhd Amin Abdul Rahim.

"Selain Hairi, kita tidak nampak lagi penjaga gol yang setaraf dengannya. Pemain-pemain lain belum mencapai tahapnya.

"Penggantinya kita lihat ada satu dan dua pemain yang berlatih bersama kami ketika Piala Sultan Johor. Kami akan lihat sama ada mereka boleh membantu kami," ujarnya.

Status Kumar dalam TNB masih belum dapat dipastikan kerana sedang menunggu keputusan lanjut daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Bagaimanapun, Nor Saiful menjelaskan penjaga gol berusia 38 tahun itu masih lagi kakitangan Tenaga Nasional Berhad dan tiada apa yang perlu dirisaukan oleh pemain itu.

"Kalau dia tidak mampu lagi bermain untuk negara, kami akan keluarkannya daripada program bersama skuad kebangsaan. Kami akan masukkan dia semula untuk bekerja dengan TNB, dia masih staf kami.

"Apabila kes ini selesai, dia boleh bermain lagi. Maknanya masih ada masa, dia berusia 38 tahun. Kita pun tidak pasti mengenai tempoh penggantungan. Kalau hanya kurang setahun, kami masih boleh gunakannya untuk Sukan Asia dan Piala Dunia," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen