Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bertekad membantu kontinjen negara ke Sukan SEA Kuala Lumpur, bulan depan dengan meraih emas dalam acara hoki dalam dewan lelaki dan wanita.

Menurut Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, selain skuad hoki padang lelaki dan wanita, barisan negara turut berpotensi menuai emas menerusi hoki dalam dewan.

Subahan berpuas hati dengan persiapan pasukan lelaki yang dibimbing Mohd Amin Rahim dan barisan wanita yang dikendalikan Iman Gobinathan.

Skuad lelaki dan wanita dalam dewan turut mendapat sentuhan bekas jurulatih negara, Paul Lissek, sebagai penasihat teknikal.

"Kami memiliki kepakaran yang sesuai untuk mengendalikan pasukan ini. Saya berpendapat skuad hoki dalam dewan Malaysia mampu menghasilkan kejayaan.

"Kehadiran Lissek bersama pasukan mencerahkan peluang Malaysia meraih pingat emas," kata Subahan.

Dalam pada itu, Lissek turut berasa Malaysia mempunyai potensi jika komited dengan pembangunan hoki dalam dewan.

"Sukan hoki dalam dewan sangat bagus untuk pembangunan. Apabila anda bermula dengan hoki dalam dewan, sekurang-kurangnya untuk beberapa bulan anda juga akan menguasai sukan hoki (luar dewan). Itu yang dilakukan pasukan Jerman sejak bertahun lamanya," kata Lissek.