Skuad hoki negara perlu melalui kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula tahun depan apabila Kongres Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menolak rayuan Malaysia mendapatkan tiket automatik selepas meraih pingat perak Sukan Asia Indonesia, September lalu.

FIH sudah menghantar surat kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sebagai memaklumkan penolakan rayuan mendapatkan tiket automatik ke Tokyo.

Ia susulan bantahan wakil negara lain yang meminta kuota Sukan Olimpik diberikan mengikut format Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan ia dipersetujui Majlis Eksekutif FIH.

Perkara itu disahkan Timbalan Presiden KHM yang menghadiri Kongres FIH di New Delhi, India.

"FIH sudah memaklumkan bahawa rayuan KHM tidak diluluskan buat masa ini sebab banyak faktor lain yang perlu diambil kira.

"Dalam kongres tersebut, kami cuba meminta mereka untuk memberi pertimbangan kepada Malaysia atas faktor Jepun akan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik. Jadi, ada isu yang boleh dibangkitkan.

"Kami sudah mengemukakan proses tersebut dan keputusan terletak di tangan FIH," kata Timbalan Presiden KHM, Datuk Prof S. Shamala.

Ini bermakna Malaysia perlu melalui Siri Hoki Dunia di Kuala Lumpur, April depan, dengan dua pasukan terbaik akan layak ke Final Siri Hoki Dunia pada hujung tahun depan.

Setakat ini, hanya skuad lelaki dan wanita Jepun sudah mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik walaupun mereka menjadi tuan rumah.