Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menetapkan minggu pertama tahun depan untuk mengadakan mesyuarat jawatankuasa pemilihan atlet bagi memuktamadkan senarai akhir kontinjen negara ke Sukan Komanwel Gold Coast, Australia.

Itu antara perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM yang dipengerusikan Presiden, Tunku Imran Tuanku Ja'afar, semalam.

Selain menentukan jumlah akhir atlet untuk ke Gold Coast pada April depan, mesyuarat itu juga akan memutuskan senarai tapisan pertama atlet yang layak untuk beraksi dalam Sukan Asia di Indonesia pada Ogos tahun depan.

Tunku Imran turut mengesahkan skuad hoki wanita negara telah melayakkan diri untuk ke Gold Coast.

"Mesyuarat jawatankuasa pemilihan atlet akan membuat keputusan akhir dengan beberapa persatuan lain bagi menentukan kontinjen terakhir pada 8 dan 9 Januari nanti kerana pada masa itu, Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM akan diadakan bagi membincangkan atlet yang akan terbabit dalam Sukan Komanwel dan tapisan pertama untuk Sukan Asia," katanya.

Selain Sukan Komanwel dan Sukan Asia, dua lagi acara sukan menjadi tumpuan utama MOM tahun hadapan, iaitu Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina serta Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan.

Dalam perkembangan lain, Tunku Imran turut mengumumkan Majlis Anugerah Olimpian Tahunan MOM akan diadakan pada 7 Disember depan.

"Anugerah itu akan melibatkan atlet lelaki dan wanita terbaik dalam Sukan SEA 2017, Anugerah Wanita Dalam Sukan Terbaik serta pengenalan Anugerah Dewan Kemasyhuran," tambahnya.