Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah, enggan menggunakan khidmat orang tengah bagi menyelesaikan isu Fazila Sylvester Silin dan bakal bertemu wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Rabu depan.

Sebelum ini, setiap usaha untuk mendapatkan khidmat pemain menerusi majikan masing-masing diuruskan pihak Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan Majlis Sukan Negara (MSN), bagaimanapun Dhaarma bertekad untuk menggunakan pendekatan berbeza kali ini.

Ternyata kelibat Fazila amat diperlukan skuad negara dan pengendali itu memilih bersemuka dengan majikan Fazila bagi mendapatkan kepastian mengenai status Fazila bersama skuad Malaysian Hockey Tigress.

Terdahulu, khidmat Fazila terpaksa dilupakan untuk saingan Sukan SEA Kuala Lumpur dan Piala Asia berikutan komitmen pemain tengah itu dengan program latihan selama enam bulan bersama bomba. Namun, Fazila telah diarahkan untuk mengikuti kursus lanjutan yang memakan masa beberapa bulan lagi.

Tegas Dhaarma, daripada terus tertunggu-tunggu, dia sanggup turun ke Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai isu berkenaan.

"Saya telah menghubungi Fazila. Dia cuba mengatur pertemuan di antara saya dan komander bomba untuk berbincang mengenai Fazila yang sudah menamatkan tempoh latihannya selama enam bulan," katanya.

Kehadiran Fazila boleh memberi kesan kepada Dhaarma untuk mengetengahkan barisan terbaik negara bagi menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia, tahun depan.

"Kalau dia dibenarkan menyertai Sukan Komanwel, ia perkara yang baik buat kami. Kalau tidak, dia berkemungkinan akan dihantar oleh bomba untuk menjalani latihan di tempat lain, maka kami terpaksa membuat keputusan mengenai statusnya," kata Dhaarma mengenai pemain berusia 29 tahun dari Sarawak itu.