Sukan Asia: Razie sasar tiket Olimpik 2020

Oleh Penulis Jemputan 25 Oktober 2017 602
 Sukan Asia: Razie sasar tiket Olimpik 2020
Pemain pertahanan hoki negara, Muhammad Razie Abdul Rahim, menganggap kejuaraan dalam Sukan Asia 2018 merupakan medan terbaik skuad negara untuk mencipta satu lagi sejarah meraih slot Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain melabel ia sebagai impian terakhirnya sebelum bersara.

Layak beraksi dalam Piala Dunia 2018 di Bhubaneshwar, India, dan muncul di pentas final Piala Asia 2017, skuad hoki negara memiliki kredibiliti terbaik untuk memastikan pingat emas Sukan Asia menjadi milik mereka.

Jika itu berlaku, barisan bimbingan Stephen Van Huizen akan sekali lagi melakar kejayaan layak ke temasya Olimpik buat kali pertama sejak tahun 2000.

Bagi Razie, itu satu-satunya peluang untuk dia melengkapkan pencapaian peribadi dalam kariernya dengan usianya yang sudah melebihi 30 tahun.

Justeru, Tokyo 2020 dianggap sebagai peluang terakhirnya ke Olimpik.

“Kebanyakan pemain senior dalam skuad ini, saya berpendapat Sukan Olimpik Tokyo akan menjadi saingan terakhir kami. Beraksi di sana akan menjadi satu pencapaian terbaik buat setiap pemain hoki,” katanya.

Selain Razie, kapten pasukan The Malaysian Hockey Tigers, Sukri Mutalib, Nabil Fiqri Mohd Noor dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil adalah antara pemain yang melewati usia 30 tahun, termasuk penjaga gol berpengalaman S. Kumar, yang masih belum buat penampilan dalam Sukan Olimpik sepanjang karier mereka.

“Hanya satu tiket diberikan menerusi saingan Sukan Asia, kami akan berusaha untuk memberikan yang terbaik dengan menampilkan persembahan yang cemerlang,” katanya lagi.

Kali pertama skuad hoki negara layak ke Sukan Olimpik ialah pada 1956 di Australia manakala kali terakhir skuad negara tampil dalam temasya sukan terbesar itu ialah pada 2000 di Australia.

Daripada sembilan penyertaan, pencapaian di Jerman pada 1972 adalah yang terbaik dengan menduduki tempat kelapan.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen