Subahan ingatkan misi sebenar skuad hoki negara

Oleh Penulis Jemputan 22 November 2018 221
Subahan ingatkan misi sebenar skuad hoki negara
Di sebalik keterujaaan skuad hoki negara untuk beraksi dalam Piala Dunia, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, mengingatkan misi sebenar Malaysia adalah untuk menamatkan kemarau 18 tahun beraksi di pentas Sukan Olimpik.

Subahan meletakkan sasaran realistik buat skuad negara untuk melepasi peringkat kumpulan Piala Dunia di Bhubaneswar, India yang bermula Rabu depan.

Saingan peringkat kumpulan dijangka sengit memandangkan Jerman, Pakistan dan Belanda mempunyai sejarah menggenggam Piala Dunia dalam edisi terdahulu.

Keutamaan Malaysia ketika ini adalah untuk memantapkan pasukan kerana tugasan sebenar mereka adalah ketika beraksi dalam Siri Hoki Akhir yang menawarkan slot kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, April tahun depan.

"Kami perlu mengingati bahawa kami akan berdepan kelayakan Sukan Olimpik pada April depan.

"Kami sudah layak ke Piala Dunia dan perlu mempamerkan aksi yang baik.

"Namun, keutamaan saya adalah untuk mendapatkan kedudukan kedua terbaik dalam saingan pada bulan April itu," katanya.

Malaysia terlepas slot ke Tokyo selepas tewas kepada Jepun dalam aksi final Sukan Asia Indonesia, awal September lalu.

KHM pernah membuat rayuan kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk membenarkan Malaysia meraih slot ke Tokyo berdasarkan status naib juara Sukan Asia, namun tidak berjaya.

"Kedudukan ranking pasti menjadi kepentingan berdasarkan sistem pemilihan ke Sukan Olimpik.

"Kedudukan ranking dalam Piala Dunia juga boleh menjadi penentu untuk kelayakan ke temasya itu," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen