Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin membuka tirai Liga Hoki Tertutup Terengganu dengan kemenangan 4-3 mengatasi Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Stadium Hoki Batu Buruk, petang tadi.

MBKT terlebih dahulu mendahului pada minit ke-13 menerusi jaringan padang Mohamad Firdaus Yusof yang menyambung pukulan Mohammad Syafiq Nordin.

SMK Padang Midin mempamerkan kebangkitan pada suku kedua hasil dua jaringan padang Muhammad Shafiq Imran pada minit ke-26 dan Muhammad Afiq Izzuddin dua minit selepas itu, sebelum Ahmad Fikri Abd Majid menambah gol ketiga pada minit ke-38.

Mohamad Khairul Anuar Zakaria merapatkan kedudukan selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-43, namun SMK Padang Midin sekali lagi melebarkan jaringan, juga menerusi pukulan sudut penalti Muhamad Irfan Mirza pada minit ke-52.

MBKT memperoleh jaringan ketiga melalui jaringan Saiful Amri Idris, empat minit sebelum tamat perlawanan tetapi jaringan itu sudah terlewat dan kedudukan 4-3 berpihak kepada SMK Padang Midin untuk kekal sehingga tamat perlawanan.

Sebanyak lapan pasukan lelaki dan lima pasukan wanita berentap bagi merebut gelaran juara liga anjuran Persatuan Hoki Terengganu (PHT) dengan kerjasama Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) ini.

Menurut Setiausaha Jawatankuasa Pertandingan Liga Hoki PHT, Mohd Yuseri Che Din, penganjuran kejohanan itu adalah langkah terbaik bagi merancakkan pembangunan sukan hoki di Terengganu.

“Selepas sekian lama ditinggalkan dengan kali terakhir penganjurannya adalah 10 tahun lalu, inisiatif ini bagi memastikan kecemerlangan sukan ini diteruskan.

“Negeri-negeri lain sudah ada liga mereka sendiri, namun kami terpaksa menangguh kejohanan ini yang sepatutnya mula diadakan tahun lalu.

“Malah, kami mahu memastikan kecemerlangan sukan hoki di negeri ini dapat bergerak seiring dengan kejayaan demi kejayaan yang dilakar Pasukan Hoki Terengganu (THT) di negara ini.

“Dengan adanya kejohanan seumpama ini, kemeriahan kembali dirasai kerana sambutan dari pasukan-pasukan dalam negeri, para penyokong serta penglibatan sektor korporat sangat menggalakkan.

“Kejohanan ini akan berlangsung dalam tempoh sebulan sebelum Liga Hoki Premier TNB/MHL kembali bersambung awal tahun hadapan,” katanya.