Aksi menentang skuad remaja Jepun menjadi antara perancangan jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, dalam persediaan untuk menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast, April ini.

Kesukaran untuk mencari lawan yang sesuai menjadi antara halangan yang dialami skuad hoki wanita
negara untuk menguji kemampuan mereka sebelum berdepan negara-negara Komanwel.

Justeru, beberapa pertemuan dengan skuad remaja Jepun pada awal Mac telah dirangka dan ia perlu
dimanfaatkan sebaik mungkin oleh kesemua pemain.

"Selepas tamat aksi liga tempatan, kami berpeluang untuk menguji kekuatan dengan skuad remaja Jepun yang turun ke sini pada 10 Mac.

"Kami akan menghadapi 10 perlawanan menentang mereka," kata Dhaarma.

Terdahulu, sesi lawatan ketua kontinjen negara ke Sukan Komanwel Gold Coast, Huang Ying How, di
Institut Sukan Negara (ISN) telah diadakan bagi meneliti persiapan skuad hoki wanita.

Bagi Dhaarma, saingan di Gold Coast nanti lebih terarah kepada persiapan awal untuk sasaran sebenar
mereka, iaitu separuh akhir Sukan Asia 2018.

"Ya, ketua kontinjen ada bertanya sama ada kami melakukan kejutan atau tidak. Saya menjelaskan, kejutan boleh dilakukan dan jika ia berlaku, ia tentunya kejutan besar."