Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) akan lebih menumpukan terhadap skuad remaja negara bagi tahun 2020 berbanding skuad senior berikutan mereka mempunyai tugasan yang lebih penting tahun depan.

Badan induk itu akan mewujudkan jawatankuasa penilaian semula bagi mengenal pasti penyebab utama kegagalan skuad hoki wanita dan lelaki negara untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bagaimanapun, tumpuan latihan dan apa jua kemudahan akan lebih memihak kepada skuad remaja negara pada tahun depan berbanding skuad senior disebabkan taraf tugasan yang bakal mereka hadapi.

"Skuad remaja akan menjadi lebih penting dan fokus KHM akan lebih tertumpu kepada pasukan remaja lelaki dan wanita.

"Skuad ini sudah dibentuk dan ketika ini, Nor Saiful Zaini merupakan ketua jurulatih bagi skuad lelaki remaja dan hari ini dia telah bentangkan kalendar untuk musim ini.

"Mereka akan beraksi dalam pusingan kelayakan di Jepun April depan yang menyaksikan empat pasukan terbaik akan layak ke Piala Dunia Remaja," kata Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.

Selain itu, 2020 akan menyaksikan pembangunan bagi kejohanan lima sebelah apabila melibatkan jemputan pasukan antarabangsa serta satu kategori baru, iaitu Piala Profesor Datin Paduka Setia Datuk Dr Aini Ideris.

"Ia sebagai satu penghormatan kepada Datuk Dr Aini Ideris sebagai naib canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) yang banyak menyumbang kepada sukan hoki," kata Timbalan Presiden Wanita KHM, Datuk Dr Sharmala Subramaniam.

Format hoki lima sebelah ini merupakan format hoki antarabangsa yang menyaksikan skuad remaja negara memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik Remaja Buenos Aires 2018.

Editor: Shaiful Shamsudin