Kapten skuad hoki negara, Sukri Mutalib, tidak gentar untuk mencabar tiga gergasi dalam Festival Hoki Antarabangsa Melbourne, Australia bermula 23 November ini walaupun Malaysia menurunkan ramai pemain muda.

Menurutnya, tugas tetap akan menjadi sukar berikutan jurulatih skuad negara, Stephen Van Huizen, terpaksa melupakan khidmat Muhammad Razie Abdul Rahim, Nabil Fiqri Mohd Noor, Fitri Saari dan Faiz Helmi Jali yang tidak mendapat pelepasan majikan serta universiti masing-masing.

"Kehilangan beberapa tonggak sedikit-sebanyak memberikan kesan kepada kami tetapi ia membuka peluang kepada pemain-pemain muda lain untuk menunjukkan bakat mereka," kata Sukri.

"Saya juga rasa walaupun ketiadaan empat tonggak, pemain-pemain muda yang menampung kekosongan itu akan memberikan persembahan terbaik.

Tiga pemain skuad pembangunan, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan, Mohd Firdaus Omar dan Mohd Amirol Aideed Md Arshad diberi peluang ke Melbourne.

Cabaran dalam kejohanan itu jauh lebih sukar berbanding ketika Malaysia meraih tangga ketiga dalam Trofi Juara-Juara Asia di Kuantan, Pahang, bulan lalu.

The Malaysian Hockey Tigers akan turun sebagai pasukan 'underdog' menentang lawan seperti India, New Zealand dan tuan rumah, Australia.

"Peluang 50-50 sebab kami tahu lawan seperti New Zealand dan India adalah sukar. Dalam perlawanan lalu, kami kalah 2-1 kepada India dan perlawanan terakhir menentang New Zealand, kami seri. Pun begitu, kalau kami bermain baik kami dapat mengelak berada di tempat terakhir."

Festival Hoki Antarabangsa Melbourne menjadi kejohanan antarabangsa terakhir sebelum Malaysia mencabar pusingan kedua Liga Dunia di Trinidad & Tobago, Mac tahun depan, yang juga kelayakan Piala Dunia 2018.

Jadual perlawanan:

Malaysia lwn New Zealand: 23 November

Malaysia lwn India: 24 November

Malaysia lwn Australia: 26 November

Perlawanan tempat ketiga, keempat & final: 27 November