Skuad negara mengharapkan kepulangan semula tonggak utama, Muhammad Razie Abdul Rahim dan Nabil Fiqri Mohammad Noor, menjelang aksi persahabatan menentang India di Kuantan, Isnin ini.

Ketua jurulatih hoki negara, Stephen van Huizen, berkata kehadian Nabil dan Razie sangat penting kerana pasukan dalam persiapan untuk pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2018.

"Mereka merupakan pemain yang penting untuk kami, pemain utama pasukan," katanya. "Sayangnya buat ketika ini Marhan (Jalil) tidak akan dapat bersama pasukan, dan ia adalah peluang terbaik untuk pemain muda menyerlah."

Tambah van Huizen, semua pihak mengetahui pengalaman dan kebolehan yang mereka miliki sama ada di dalam atau di luar padang.

Mengulas perkara yang sama, kapten hoki negara, Sukri Mutalib, berkata: "Jika mereka tersenarai bersama pasukan, ia merupakan perkara yang cukup baik."