Skuad kendalian Wallace Tan menanti keputusan FIH

Oleh Staff Writer 21 November 2016 0
Skuad kendalian Wallace Tan menanti keputusan FIH

Skuad pembangunan hoki negara kendalian Wallace Tan diletakkan dalam keadaan bersiap sedia apabila Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dijadual mengumumkan minggu ini sama ada Pakistan akan ke Piala Dunia Remaja bulan depan atau akan digantikan dengan Malaysia.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan jika dipanggil menyertai Piala Dunia Remaja di Lucknow, India.

Malaysia gagal melepasi kempen Kelayakan Piala Remaja Asia di Kuantan, Pahang, tahun lalu apabila sekadar meraih tangga kelima sementara Pakistan muncul naib juara.

Hanya empat pasukan benua Asia layak dan jika Pakistan menarik diri, Malaysia calon terbaik sebagai pengganti untuk saingan yang akan  bermula 8 Disember depan.

"Kami sedang menunggu pengumuman daripada FIH. Terlalu awal jika kami membuat sebarang kenyataan mengenai perkara ini. 

"Kami akan menunggu pengumuman rasmi dan seterusnya mengambil tindakan yang sepatutnya.

"Kami bukan saja perlu bersiap sedia daripada aspek pasukan kerana ada perkara lain -- visa, penginapan -- yang perlu diberi perhatian," jelas Ketua Pegawai Eksekutif KHM, Logan Raj.

Skuad projek 2016 dibubarkan selepas gagal di Kuantan, sekaligus pasukan kendalian Wallace yang meraih tangga kelima dalam Kejohanan Piala Sultan Johor, dua minggu lalu, diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Ini kali pertama Malaysia gagal ke Piala Dunia Remaja selepas meraih tempat keempat di New Delhi, India, tiga tahun lalu.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen