Mendapat jemputan bersaing bersama skuad kebangsaan luar negara buat kali pertama pada 2018 membuktikan pasukan hoki wanita Malaysia kini menjadi salah satu pasukan yang digeruni lawan.

Pengendali skuad hoki wanita negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah, puas hati apabila mereka yang pernah dipandang sebelah mata kini mampu untuk menghadirkan perasaan gerun dalam
kalangan beberapa skuad kebangsaan luar negara.

Sebelum ini, mereka hanya dijemput untuk perlawanan yang hanya melibatkan pasukan kelab atau remaja kerana dilihat belum cukup gah sehingga anak buah Dhaarma mula menunjukkan taring, khususnya di pentas Piala Asia, Oktober lalu.

China adalah antara negara pertama yang menjemput Malaysia untuk mengadakan perlawanan persahabatan bersama mereka pada bulan April 2018.

"China telah mempelawa kami beraksi dalam aksi persahabatan dan ia merupakan satu penghormatan kerana mendapat peluang ini," kata Dhaarma.

Selain lega dengan penambahan tiga pasukan, iaitu PDRM, UiTM dan Kedah yang menjadikan tujuh pasukan bersaing dalam Liga Hoki Wanita 2018, Dhaarma turut berharap agar lebih banyak kelab ditubuhkan apabila beliau melihat ramai pemain yang berbakat tetapi peluang agak terhad.

"Sebelum ini, kekurangan pemain menjadi faktor tetapi segala-galanya telah berubah. Persoalannya, mengapa begitu susah untuk menubuhkan sebuah pasukan," tambahnya.