Jurulatih pasukan hoki wanita negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah, memberi bayangan sukar untuk skuadnya mencipta kejutan selepas kehilangan dua tonggak utama, iaitu Fazilla Sylvester Silin dan Hasliza Mohd Ali, dalam Piala Asia di Kakamigahara, Jepun, dari 28 Oktober hingga 5 November ini.

Dhaarma tidak mahu berselindung dengan situasi pasukannya yang tidak memiliki barisan pelapis terbaik hingga mustahil untuk dia memastikan skuadnya beraksi cemerlang dalam kejohanan itu.

Ketiadaan Hasliza yang kini mengandung anak sulung dan kesukaran untuk Fazilla mendapat pelepasan kursus bomba selama enam bulan bakal menjadi titik tolak nasib Malaysia di Jepun nanti.

Dhaarma tidak mahu menabur janji kosong kerana dia sendiri mengakui kesukaran yang bakal dialaminya dalam kejohanan tersebut.

"Kalau kata kami memiliki Fazilla dan Hasliza pun, untuk kita muncul sebagai juara Piala Asia, ia memang satu tugas yang sukar seperti mendaki bukit.

"Cuba bayangkan tanpa mereka, situasinya bertambah susah. Impian untuk mara ke Piala Dunia memang nampak susah," katanya.

Bagaimanapun, belum ada kata putus selepas pihak Majlis Sukan Malaysia (MSN) mengambil usaha untuk berunding dengan majikan Fazilla yang diharap mendapat pelepasan bagi membantu skuad negara dalam Piala Asia.

"Pada Jumaat ini, kami akan mendapat kata putus. Kalau kami tidak mendapat apa-apa perkembangan baik, terpaksalah kami mengambil pemain lain.

"Tanpa dua pemain itu, persembahan kami akan terjejas sebab mereka adalah pemain utama dalam pasukan," katanya.