MALAYSIA 2 BELANDA 7

Skuad hoki pembangunan negara memulakan aksi dalam Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2016 dengan longlai apabila tewas besar 7-2 kepada Belanda meskipun cuba bangkit pada lewat perlawanan.


Cuaca sejuk dan berkabus serta jadual perlawanan yang berubah menjadi petanda kurang baik buat skuad hoki pembangunan negara apabila menjadi mangsa belasahan Belanda di Lucknow, India.

Turun sebagai pasukan jemputan menggantikan Pakistan, Malaysia tidak bermaya ketika berdepan Belanda yang mempamerkan aksi terpuji. Gawang skuad negara bocor pada minit ke-19 menerusi Thijs Van Dam.

10 minit selepas itu, Thierry Brinkman menjadikan kedudukan 2-0 sebelum Bram Van Groesen menambah gol ketiga, empat minit selepas itu menerusi pukulan sudut penalti.

Malaysia terus lesu pada babak kedua apabila Belanda menambah tiga lagi gol dalam tempoh 14 minit, kesemuanya menerusi gol padang untuk mendahului 6-0.

Muhammad Zaidi memecah kebuntuan buat Malaysia apabila berjaya menewaskan penjaga gol Belanda, Maurits Visser, pada minit ke-59, namun Belanda membalasnya dengan gol ketujuh, sekali lagi menerusi Van Groesen, hanya empat minit selepas itu.

Amirul Arshad menghidupkan sisa-sisa perjuangan Malaysia dengan gol kedua negara pada minit ke-65, namun tidak mampu menutup jurang luas dengan Belanda untuk tewas 7-2.