Ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, tidak mengharapkan imbuhan selepas Malaysia muncul naib juara Piala Asia walaupun ramai mencadangkan dirinya patut diberi anugerah.

"Mereka rasa kami layak mendapat ganjaran dan ia bukan untuk kami bertanyakan tentang perkara itu. Ia terpulang kepada mereka untuk menentukannya.

"Saya rasa pemain layak menerimanya kerana mereka memberikan segala-galanya. Lihat Fitri (Saari), dia memutuskan untuk terbang kembali dan beraksi ketika anak lelakinya berada dalam keadaan kritikal, Faizal (Saari) kehilangan empat batang gigi dan S. Kumar terlepas sambutan Deepavali. Semua ada pengorbanan," katanya.

Skuad kebangsaan diangkat sebagai wira selepas berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Asia di Dhaka, Bangladesh.

Walaupun tewas 1-2 kepada India kelmarin, aksi final itu adalah yang kedua tertinggi buat Malaysia selepas kali pertama berentap dalam final Sukan Asia 2010 di Guangzhou dan menyaksikan Malaysia tewas 0-2 kepada Pakistan.

Sehubungan itu, ramai pihak mencadangkan agar pemain dan pegawai pasukan diberi imbuhan setimpal selepas memperagakan aksi cemerlang sepanjang tahun ini.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) juga berharap kejayaan musim ini mengukuhkan peluang mereka untuk tersenarai dalam Program Podium.

"Kami berjanji tidak akan menghampakan kerana dari sini kami menjadi pasukan yang kuat. Diharapkan kerajaan pun akan bantu kami dan meletakkan hoki dalam Program Podium," kata Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.

"Program latihan yang dikendalikan oleh bahagian kejurulatihan sangat-sangat membantu dan saya harap perkara baik pada tahun ini akan diteruskan untuk tahun depan," kata kapten pasukan, Sukri Mutalib.