Ketua jurulatih hoki negara, Stephen Van Huizen, memilih enam pakar pukulan sudut penalti bagi menguatkan skuad The Malaysian Hockey Tigers dalam misi membenam Pakistan dalam aksi sulung Trofi Juara-juara Asia, petang esok.

Pertahanan senior, Muhammad Razie Abd Rahim, mengetuai senarai enam pakar pukulan sudut penalti Malaysia.

Dia masih memiliki tolakan terbaik walaupun sudah lima bulan berehat daripada skuad kebangsaan.

Selain Razie, pemain yang mampu melaksanakan tugas itu ialah Faizal Saari, Shahril Saabah, Najmi Farizal Jazlan, Fitri Saari dan Firhan Ashaari.

Media tidak dibenarkan merakam pukulan sudut penalti negara, namun apa yang pasti, pasukan ini lebih baik berbanding pasukan negara yang meraih tangga keenam dalam Liga Hoki Australia.

"Kami telah mengharungi persiapan yang rapi. Liga Hoki Australia benar-benar memberi kami permainan berkualiti dan kami tidak bernasib baik kerana beberapa pemain mengalami kecederaan," jelasnya ketika ditemui selepas pasukan negara menjalani latihan di Kuantan.

"18 pemain yang terpilih akan menampilkan aksi terbaik mereka,"

Juara bertahan, Pakistan, menyedari kekuatan pukulan penalti Malaysia. Maka, tidak hairanlah pertahanan mereka perlu lebih berhati-hati dalam 'kawasan D' atau rekod cemerlang belum pernah tewas di tangan Malaysia dalam kejohanan ini akan lebur.

"Kami perlu berwaspada. Ini kerana pemain pasukan Malaysia sudah lama bermain bersama-sama. Mereka juga memiliki pengalaman yang luas.

"Ia akan menjadi pertemuan yang menarik," kata ketua jurulatih Pakistan, Khawaja Junaid.