Barisan pemain hoki negara percaya beraksi di pentas final bakal menjadi misi wajib buat mereka dalam kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Kuantan yang akan bermula 20 Oktober ini.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hanya menetapkan sasaran layak ke separuh akhir tetapi bagi pemain negara, mereka mempunyai misi peribadi untuk menamatkan badi melangkah ke perlawanan akhir.

Tiga edisi terdahulu, Malaysia sering berputih mata dan hanya mampu meraih tempat ketiga sejak kejohanan tersebut diadakan pada tahun 2011.

"Sudah tentu kami mahu melakukan lebih lagi untuk tahun ini. Tiga kejohanan lalu, kami mendapat tempat ketiga, jadi untuk tahun ini kami menyasarkan untuk melakukan kejutan mungkin beraksi di pentas final," kata penjaga gol hoki negara, S. Kumar.

Kapten skuad hoki negara, Sukri Mutalib, menganggap sasaran yang diletakkan kepada mereka adalah relevan tetapi pemain kelahiran Perak itu mempunyai sasaran peribadi untuk beraksi di pentas akhir.

"Sasaran yang ditetapkan oleh jurulatih dan pihak pengurusan semua adalah realistik. Tetapi saya mempunyai sasaran peribadi kerana sebelum ini, kami hanya meraih pingat gangsa.

"Jadi, kalau boleh untuk tahun ini, saya mahukan pingat perak ataupun mungkin muncul juara," ujar Sukri.

Mereka juga tidak mengambil pusing isu yang membabitkan pasukan Pakistan, yang masih belum dapat menamakan senarai lengkap pemain kepada pihak penganjur.

"Saya masih tidak mengetahui barisan pemain Pakistan tetapi jika berdasarkan barisan pemain yang mereka miliki pada tahun lalu, mereka merupakan pasukan yang kuat dan peluang adalah 50-50 jika kami turun beraksi menentang mereka," jelas Sukri.

Bagi mereka, situasi itu merupakan sebahagian daripada strategi perang saraf dan keadaaan akan menjadi janggal jika Pakistan tidak menyertai edisi kali ini untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka pada 2013.

"Secara psikologi, pasukan-pasukan lain tentu akan berfikir sama ada Pakistan akan beraksi atau tidak dan mungkin peluang untuk pasukan lain lebih terbuka jika mereka tidak beraksi.

"Berdasarkan apa yang dikongsikan di dalam media sosial, Pakistan telah melakukan persiapan, jadi tidak mustahil mereka bakal membuat pendaftaran pada saat-saat akhir," tambah Kumar.

Kredit photo : Laman Facebook Malaysian Hockey Confederation.