Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, menuntut laporan pengarah teknikal, Terry Walsh, apabila skuad kebangsaan meraih tangga tercorot Festival Hoki Melbourne selepas tewas 1-4 di tangan India.

Skuad kendalian Stephen Van Huizen menamatkan musim 2016 tanpa sebarang kejuaraan.

Kekalahan 4-1 di tangan India dalam penentuan tempat ke-3/4 Festival Hoki Melbourne membuktikan masih banyak perlu dilakukan untuk menghadapi pusingan kedua Liga Dunia di Trinidad & Tobago, Mac tahun depan selaku kelayakan Piala Dunia 2018.

Justeru, Subahan mahu jalan penyelesaian diambil dengan kadar segera.

"Pada pendapat saya, terdapat beberapa alasan dan perkara yang telah dimaklumkan seharusnya tidak dilakukan.

"Ssaya berasakan Terry Walsh dan Van Huizen mengetahui apa yang mereka lakukan. Jadi, segala kepincangan dan kelemahan harus diperbaiki sebelum kami ke Trinidad & Tobago, Mac tahun depan," ujar Subahan.

Kalendar 2016 cukup padat untuk The Malaysian Hockey Tigers apabila tidak berhenti berlatih dan menyertai kejohanan sejak Liga Hoki Malaysia, Ogos lalu.

Pemain akan diberikan tempoh rehat beberapa hari sebelum kembali ke pangkuan kelab masing-masing menjelang Liga Hoki Malaysia, Januari tahun depan.