Skuad hoki negara akan berada di tangga kelapan terbaik dunia -- Subahan

Oleh Staff Writer 13 Oktober 2016 26
Skuad hoki negara akan berada di tangga kelapan terbaik dunia -- Subahan
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, menambahkan lagi cabaran untuk The Malaysian Hockey Tigers dengan melontarkan keyakinan bahawa skuad itu mampu sekurang-kurangnya menghuni ranking kelapan terbaik dunia bermula daripada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2016 di Kuantan, minggu depan.

Subahan, yang sebelum ini menetapkan sasaran untuk meraih kelompok 10 terbaik dunia, percaya dengan proses kebangkitan semula hoki Malaysia selepas meraih tangga keenam Liga Hoki Australia baru-baru ini.

Katanya, prestasi semasa skuad kendalian Stephen van Huizen, terutama menjelang saingan di Kuantan, meningkatkan keyakinan bahawa Malaysia mampu berada dalam kelompok lapan terbaik dunia.

"KPI (Indeks Prestasi Utama) peribadi saya adalah untuk memastikan pasukan negara menamatkan cabaran di kedudukan 10 terbaik dunia sebelum saya menamatkan tugas yang telah saya pegang selama satu setengah tahun. 

"Saya masih ada dua setengah tahun lagi dan berharap pasukan negara akan menamatkan cabaran di tangga 10 terbaik dunia.

"Mengambil kira apa yang dikatakan oleh Terry Walsh (Pengarah Teknikal) sebelum ini, saya percaya skuad negara akan berada di tangga kelapan terbaik dunia tetapi KPI saya adalah 10 terbaik dunia," jelas Subahan.

Beliau berkata demikian pada majlis memperkenalkan penaja-penaja bagi kejohanan itu di Hotel Palace of The Golden Horses, hari ini.

Trofi Juara-Juara Asia dari 20 hingga 30 Oktober ini menerima tajaan RM900,000. 

Subahan berkata QNET adalah penaja utama bagi kejohanan edisi keempat itu dengan jumlah tajaan sebanyak RM500,000.

Katanya, jumlah penajaan lain ialah daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM300,000 sementara Genting Malaysia dan Waz Lian Group of Companies masing-masing menaja sebanyak RM50,000.

Subahan turut mengumumkan jenama sukan terkemuka dari Itali, Kappa, akan menaja jersi pasukan kebangsaan lelaki dan wanita berjumlah RM700,000 bagi tempoh dua tahun.

Jersi baharu itu mempunyai tiga variasi warna dengan yang pertama rekaan corak oren-hitam sebagai kit utama bagi aksi di halaman sendiri, biru-merah (halaman lawan) manakala putih bagi yang ketiga.

Jersi ini akan mula digunakan skuad senior lelaki di Kuantan dan juga skuad wanita dalam Trofi Juara-Juara Asia wanita di Singapura, bermula 28 Oktober ini.

"Saya berharap dengan pembaharuan yang kami lakukan, ia akan menjadi pembakar semangat untuk skuad negara beraksi cemerlang dalam Trofi Juara-Juara Asia," tambah Subahan.

Trofi Juara-Juara Asia kali ini menampilkan enam pasukan terbaik dari Sukan Asia, iaitu Pakistan, India, China, Jepun, Korea Selatan dan Malaysia, selaku tuan rumah buat kali pertama.

Skuad negara akan memulakan kempen kejohanan itu dengan menentang Pakistan pada 20 Oktober nanti.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen