Kapten skuad hoki wanita negara, Siti Noor Amarina Ruhani, mengakui sanggup berlatih jam 3 pagi kerana percaya dengan bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang tersenarai antara jurulatih kebangsaan yang bakal tamat kontrak 31 Disember ini.

Dhaarma antara jurulatih paling cemerlang tahun ini apabila membantu skuad hoki wanita dalam dewan meraih pingat emas Sukan SEA selain tangga ketiga Siri Final Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Namun, KHM tetap menamatkan kontrak semua pengendali tempatan berakhir 31 Disember ini sebelum proses temu duga baru dijalankan Mac depan.

Hanya ketua jurulatih skuad lelaki negara, Roelant Oltmans, terselamat kerana mempunyai kontrak hingga Oktober tahun depan.

Bagi Siti Noor Amarina, tempoh selama empat tahun di bawah kendalian Dhaarma ibarat pengalaman terbaik bersama skuad kebangsaan dan percaya bimbingan jurulatih itu mampu menghadirkan lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

"Sepanjang mewakili Malaysia bersama beberapa jurulatih sebelum ini, kejayaan kejutan yang diraih sebelum ini hadir ketika di bawah naungan Dhaarma," katanya.

"Walaupun bermula dengan latihan seawal jam 3 pagi, ia adalah satu pengalaman yang berbeza dan saya percaya Dhaarma memiliki sentuhan yang mampu menghadirkan kejayaan buat mana-mana pasukan."